Program Membara Bicara Kebajikan Bersama Polis Diraja Malaysia "JENAYAH SIBER"

3 October 2014 | Jumaat

Jenayah Siber merupakan jenayah yang paling popular ketika ini. Oleh itu, Pihak Pusat Internet 1 Malaysia Duyong dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jawatankuasa Kampung telah mengadakan satu program Bicara Kebajikan bersama Polis Diraja Malaysia bagi memberi pendedahan tentang Jenayah Siber yang semakin berleluasa ini.

Jenayah siber merupakan jenayah komputer yang baharu pada abad ini. Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh sebab tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet. Pada masa yang sama, kebebasan maklumat yang dijanjikan oleh dunia siber ini menimbulkan rasa gerun bagi pihak pentadbir sesetengah negara yang selama ini mahu mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan berpendapat penduduk mereka.

Keupayaan Internet sebagai alat komunikasi jauh mengatasi alat-alat komunikasi yang ada sekarang. Percetakan, telefon dan televisyen telah berzaman memainkan alat yang penting dalam media untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang ramai. Namun, bahan-bahan media ini penyebaran maklumatnya adalah satu hala dan tidak interaktif seperti Internet. Ini membolehkan pengawalan maklumat dilakukan secara berkesan. Malah kebanyakan negara mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal percetakan dan kandungan televisyen. Di Malaysia contohnya, sebarang percetakan yang disebarkan kepada orang awam memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 membataskan maklumat-maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai. Bahan media yang tradisional juga dibatasi oleh had geografi. Penyebaran buku, majalah dan surat khabar memerlukan kos, tenaga manusia,infrastruktur jalan dan kemudahan kenderaan. Kesemua faktor ini membataskan penyebaran maklumat dan pada masa yang sama memudahkan pengawalan maklumat. Perbezaan antara Internet dan bahan media yang sedia ada amatlah nyata kerana Internet adalah satu platform yang menyediakan maklumat daripada berjuta-juta pengguna dan pengkaji selidik dari seluruh dunia. Internet memungkinkan seseorang menyebarkan maklumat dan berinteraksi dengan orang lain yang mungkin beribu-beribu batu jauhnya.

Kesemua peringkat penggunaan komputer adalah sentiasa berhadapan dengan aktiviti jenayah. Sama ada sebagai mangsa kepada jenayah atau peralatan bagi jenayah atau kedua-duanya. Operasi Input, Pemprosesan Data, Operasi Output dan Komunikasi Data telah digunakan dengan teliti untuk tujuan yang tidak sihat. Jenis jenayah siber yang biasa kita dengar adalah seperti :-Penipuan,Kerosakan atau pengubahsuaian keatas program atau data komputer, Kecurian maklumat, Capaian secara tidak sah keatas sistem, Menyalin perisian secara tidah sah, Pengintipan, Judi siber, Skim Cepat Kaya, Pornografi, Penggodam atan "hackers", Penyebaran Virus dan lain-lain.